|
PASIR MAS 29 Jun – Kubur misteri yang mencetuskan kontroversi di kalangan penduduk setempat terjawab apabila ia dikorek oleh sepasukan anggota polis dan hanya menemui beberapa batang pisang yang ditusuk dengan paku.
Bagaimanapun kerja mengorek kubur kira-kira pukul 10 pagi itu menjadi agak kecoh apabila seorang bomoh berusia 59 tahun muncul dan memarahi anggota polis, penduduk kampung serta wakil media.
Setakat ini belum pasti apa tujuan batang pisang itu ditanam dalam kubur tersebut.
Bagaimanapun, ia dipercayai ada persamaan dengan amalan pemujaan Vodoo - iaitu menyucuk jarum pada anak patung bagi menyeksa orang yang dituju sihir itu.
Penyelia Pembangunan Mukim, Pengkalan Batu, Abdul Hamid Ali berkata, kerja-kerja mengorek kubur tersebut mendapat kebenaran Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
‘‘Kerja menggali diteruskan oleh sekumpulan anggota polis dan mengesahkan enam batang pisang berbungkus dalam plastik hitam di dalam kubur berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Kewujudan kubur misteri tersebut mencetuskan kegemparan di kalangan penduduk setempat kerana mereka tidak mengetahui apakah sebenarnya yang ditanam di perkuburan tersebut.
Ekoran daripada itu, laporan polis telah dibuat untuk mendapatkan kepastian malah seorang bomoh ditahan bagi membantu siasatan dan dia dilepaskan sejurus selepas itu.
Sebelum ini, Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Mohd. Shukri Mohamad memberitahu kubur batang pisang itu tidak perlu digali semula kerana ia tidak menjejaskan tanah perkuburan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Supritendan Haliludin Rahim berharap penduduk berpuas hati kerana sudah mengetahui keadaan sebenar
0 comments:
Post a Comment